Home » » Hoki:'Kenyataan saya diputar belit'

Hoki:'Kenyataan saya diputar belit'

Written By Muhammad Jefrizzal on Jumaat, 13 April 2012 | 4/13/2012 12:15:00 PTG





TAI BENG HAI


KETUA jurulatih skuad hoki negara, Tai Beng Hai, semalam meluahkan kemarahan dan perasaan kecewanya terhadap laporan sebuah akhbar tempatan kelmarin yang memutar belitkan fakta dan laporannya mengenai post mortem skuad kendaliannya.
Akhbar yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris itu dikatakan telah menyalurkan informasi yang tidak tepat mengenai laporan yang dibentangkan Beng Hai pada Mesyuarat Majlis Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Selasa lalu berhubung kegagalan skuad negara pada kempen Kelayakan Olimpik 2012 London, di Dublin bulan lepas.
Selain cuba mencalarkan imej pemain, pegawai dan persatuan, Beng Hai menjelaskan bahawa laporan tersebut juga dilihat bertujuan memberi tanggapan negatif kepada MHC dan juga sukan hoki Malaysia dengan memutar belitkan fakta laporan yang dipercayai diseludup keluar oleh dalang-dalang tertentu ketika mesyuarat tersebut berlangsung.
“Saya rasa bukan saya sahaja yang marah, tetapi semua orang yang terlibat dalam sukan hoki juga akan sedih dengan laporan yang tidak tepat dan telah diputar belitkan ini,” jelas Beng Hai dalam sidang akhbar di Bukit Jalil, semalam.
“Saya lihat ini adalah satu percubaan untuk meletakkan kesalahan kepada pemain skuad ini di atas kegagalan mereka pada kempen Kelayakan Olimpik di Dublin, baru-baru ini.
“Ini bukan cara yang wajar dilakukan oleh pengamal media sekiranya mahu memajukan hoki negara, sebaliknya ia memberi tanggapan negatif masyarakat terhadap pemain kita sekali gus menjejaskan minat dan semangat mereka yang telah berusaha keras untuk mengangkat reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi.
Turut hadir pada sidang akhbar tersebut ialah pengurus pasukan, George Koshy, penolong jurulatih, Nor Saiful Zaini, Setiausaha Agung MHC, Mohd. Johari Abdul Aziz dan koordinator pasukan, Stephen van Huizen.
Akhbar tersebut kelmarin melaporkan bahawa Beng Hai telah menggariskan lapan sebab mengapa pemain negara gagal pada kempen tersebut, sekali gus menyaksikan Malaysia gagal beraksi di pentas Olimpik buat kali ketiga berturut-turut.
Selain itu, laporan tersebut turut mengimbas kembali isu dan kontroversi yang timbul pada tahun 2009 hingga 2010 yang mana Beng Hai menjelaskan ia telah pun berjaya ditangani oleh MHC (atau Persekutuan Hoki Malaysia, PHM ketika itu).
“Saya akui bahawa masalah dan isu yang timbul sebelum ini seperti pemain menghisap rokok, keluar berhibur di tengah malam, ponteng latihan atau mengatur perlawanan pernah berlaku, namun ia telah pun berjaya ditangani oleh MHC.
“Jadi, ia bukan lagi menjadi punca utama di atas kegagalan kita pada kempen kelayakan ini. Malah, MHC juga telah mengambil pengajaran terhadap perkara tersebut dan memperkenalkan beberapa peraturan dan garis panduan baharu hasil daripada kes-kes tersebut untuk pemain generasi muda seperti skuad Projek 2013 dan Projek 2017.
“Malah, saya juga tidak pernah membuat kenyataan bahawa kita gagal ke Olimpik adalah sebab-sebab isu yang timbul pada 2009 atau 2010.
“Sebaliknya kita telah berjaya mengatasinya sehingga pasukan ini berjaya memperbaiki ranking dunia dan memenangi pingat perak di Sukan Asia 2010,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohd. Johari yang dilantik setiausaha agung MHC yang baharu menggantikan Maninderjit Singh berkata: “Saya harap sidang akhbar ini dapat menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai laporan yang telah dilaporkan oleh akhbar berkenaan.
“Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah memandang ke depan dan lupakan kekecewaan kita pada kempen kelayakan ini,” jelasnya lagi.

Share this article :